Monday, 26 November 2012


Kenangan...

Kenangan indah bersamamu,
Terpahat dilubuk hatiku,
Senyuman manis yang terukir dibibirmu,
Lirikan manja matamu dan keayuan wajah jawamu,
Cukup membuatkan hati ini gusar jika tidak dapat bertemu.

Kenangan ini mengajar aku erti kesabaran,
Untuk aku terus sabar menerima takdir Ilahi.
Kenangan indah bersamamu,
Mengajar aku erti cinta sejati,
Cinta sejati akan kupertahankan,
Walaupun nyawa terpaksa digalang ganti,
Untuk menyerahkan cinta sejati ini tidak sama sekali.

Kini..
Semua memori yang kita cipta,
Hanya tingal kenangan,
Hidupku kini hanya bertemankan duka,
Hanya air mata menjadi saksi keperitan hatiku.

Kini..
Hidupku serba kekurangan tanpamu,
Sakit yang kurasai ini akan menjadi barah dihatiku,
Linangan air mata yang membasahi pipi ku,
Cukup membuktikan kesetiaan cinta ini.

Kini..
Air mata menjadi penemam setiaku,
Guruh di langit seakan tahu raungan tangisanku,
Langit yang mendung seakan faham sebak dihatiku,
Hujan yang turun seakan mengerti tangisan hatiku.

Kini..
Aku terus dibuai kenangan manis kita,
Adakalanya aku termenung mengenangkan nasibku,
Dimanakah pengakhiran derita ini,
Hanya iringan doa mampu kukirimkan kepadamu.

Kini..
Kau telah pergi jauh dari hidupku,
Kenangan ini menjadi saksi kita pernah bersama,
Aku tetap berpegang pada janjiku,
Akan setia menanti kepulanganmu.


Tuesday, 20 November 2012

Kerjaya Masa Hadapan


      

 Kerjaya merupakan kerja atau aktiviti-aktiviti untuk memenuhi keperluan-keperluan psikologikal,ekonomikal dan sosioligikal individu dan ini direalisasikan dengan bekerja hingga berjaya. Dalam merencanakan kerjaya ini, seseorang itu harus menilai sesuatu bidang yang diceburinya di peringkat universiti sama ada mempunyai peluang kerjaya yang cerah ataupun tidak. Setiap mahasiswa di Universiti sememangnya mengimpikan ijazah yang mereka miliki mampu memberikan mereka peluang pekerjaan yang baik.

        Seperti juga diri saya dalam merancang masa hadapan dengan ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan (logistik dan pengangkutan) yang bakal diperoleh pada bulan Oktober 2013. Prospek masa hadapan yang saya dapat lihat melalui bidang ini adalah sangat luas kerana setiap syarikat memerlukan pengurus di bahagian logistik dan pengangkutan dalam operasi harian mereka. Melalui temubual bersama bekas pelajar logistik dan pengangkutan di Universiti Utara Malaysia, lebih 90 peratus daripada mereka terus diserap kerja oleh pengurus syarikat selepas tamat praktikal.

        Dalam merancang kerjaya saya dalam bidang logistik dan pengangkutan, saya telah diterima untuk menjalani praktikal di syarikat Petronas Chemical Fertiliser di Gurun, Kedah. Peluang ini tidak akan saya sia-siakan dalam merancang permualaan kerjaya saya pada masa akan datang. Antara sebabnya mengapa saya memilih  kerjaya tersebut kerana bidang ini mampu memberikan pendapatan yang lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Hal ini kerana bahagian logistik di sesebuah syarikat merupakan tulang belakang kepada pendapatan syarikat. Jika logistik tidak diuruskan dengan sempurna, pendapatan syarikat akan terjejas. Sebab itulah pendapatan bulanan yang lumayan diberikan kepada pengurus logistik di sesebuah syarikat.

        Selain itu, kerjaya dalam bidang logistik ini sangat diperlukan pada masa ini kerana pertambahan bilangan syarikat dari luar negara yang menapak di negara kita seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Jika seseorang itu mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang ini, dia akan akan menjadi rebutan antara syarikat-syarikat besar di negara ini. Selain itu, prospek pekerjaan yang luas dalam bidang ini menyebabkan saya memilih kerjaya sebagai pengurus logistik. Antara syarikat-syarikat besar yang memerlukan pekerja dalam bidang ini seperti Petronas, Sime Darby, Proton, pelabuhan-pelabuhan sekitar perairan Malaysia dan sebagainya.

         Seharusnya saya sebagai pelajar logistik dan pengangkutan berasa bangga memiliki ijazah dalam bidang ini kerana bidang ini menjanjikan peluang kerjaya yang luas seiring dengan apa yang telah diterapkan semasa berada di Universiti.


Isu Politik Semasa Luar Negara

         


        Pada hari ini, keadaan politik luar negara semakin membimbangkan semua pihak di dunia terutamanya kita sebagai rakyat Malaysia. Isu peperangan di Palestin sememangnya sudah lama berlaku sejak tahun 1948. Kini sudah lebih enam dekad isu ini dimainkan oleh negara yang dilebelkan sebagai negara haram Israel. Isu ini memberi impak kepada kita sebagai rakyat Malaysia kerana sememangnya tidak sanggup melihat sahabat seagama islam kita ditindas di negara mereka sendiri. 

          Negara haram Israel menindas hak asasi warga Palestin dengan menceroboh dan merampas kedudukan Palestin di tanah air mereka. Pembunuhan dilakukan secara kejam tanpa belas kasihan dan telah mencabuli hak kehidupan terhadap rakyat Palestin terutama kanak-kanak dan wanita. Israel juga dengan sewenang-wenangnya melanggar hak keamanan sebagaimana yang dinyatakan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

          Reaksi di negara Islam termasuk pemboikotan terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain diuar-uarkan secara besar-besaran bagi melumpuhkan ekonomi utama AS yang menjadi penyumbang utama dalam siri keganasan terhadap Palestin. Meskipun di Palestin sendiri sukar untuk mengembangkan ekonomi mereka, namun bantuan daripada seluruh dunia saling berterusan. Secara logiknya, ekonomi Palestin sukar berkembang kerana penindasan dan peperangan telah berlaku sekian lama dan rakyat hanya tertumpu pada peperangan sahaja. Tindakan dunia telah bersetuju untuk melaksanakan pemboikotan secara berterusan bagi menyatakan bantuan mereka terhadap Palestin.

         Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengambil iktibar dari peristiwa politik kotor luar negara walaupun negara kita bebas dari peperangan. Seharusnya kita sebagai umat manusia yang mahukan keamanan dalam menjalani kehidupan seharusnya membantu warga Palestin yang dibelenggu penindasan hak asasi mereka yang berterusan oleh rejim Israel. Pemimpin-pemimpin negara seharusnya menggesa dan menuntut keadilan terhadap isu berkenaan malah menjadi jurucakap di negara masing-masing. SAVE FOR GAZA.